Thursday, September 16, 2010

Utusan Malaysia Online - Keluarga

Utusan Malaysia Online - Keluarga



ARKIB : 10/09/2010

Qadeeja penuhi keperluan pelanggan



Aman Che Abdullah di Galeri Busana Qadeeja.


TIDAK pernah terlintas di hati Aman Che Abdullah sebelum ini untuk melibatkan diri dalam perniagaan busana malah memiliki butik sendiri.
Ini kerana pengalamannya bergelumang dengan cip-cip elektronik dan teknologi maklumat (IT) cukup jauh berbeza jika dibandingkan dengan terpaksa belajar jenis-jenis fabrik serta material untuk tudung, baju kurung dan baju Melayu.
Namun demi menyahut cabaran kakaknya, beliau sanggup mencuba dan ia dijadikan pembakar semangat untuk membuka Galeri Busana Qadeeja yang menawarkan pelbagai produk busana dan kasut untuk wanita, lelaki serta kanak-kanak.
‘‘Saya memang tiada pengalaman langsung dalam bidang ini namun saya tak malu belajar daripada kakak serta pekerja wanita yang ada di sini,’’ katanya yang bertanggungjawab sebagai Pengarah Urusan Qadeeja.
Premis pertama Qadeeja dibuka di Kulim iaitu bersebelahan Kulim Landmark Central sejak dua minggu lalu dan menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk sekitar Kulim.
Bercerita lanjut, jejaka berusia 35 tahun itu berkata, Qadeeja berbeza daripada butik pakaian lain kerana ia menawarkan busana bukan hanya untuk orang Islam tetapi juga kaum lain dengan pilihan gaun, blaus dan jean.
Lebih menarik jelasnya, mereka juga mengeluarkan produk sendiri dengan jenama Qadeeja seperti baju-T dan jeans untuk muslimah yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.
‘‘Produk ini dengan logo Q pastinya mampu menyaingi jenama terkenal lain di rak-rak pusat membeli-belah dan telah berada di pasaran sekian lama.
‘‘Kebanyakan produk yang ada di galeri ini adalah hasil jahitan kami sendiri seperti tudung, baju kurung moden, gaun wanita dan kanak-kanak, jubah, kain samping dan baju Melayu manakala telekung sembahyang dan kasut diimport,’’ ujarnya.
Bagi menarik lebih ramai pelanggan, Qadeeja menawarkan sistem mata di atas setiap pembelian yang dibuat dan pembeli boleh mengumpulkan mata tersebut untuk menebus pelbagai hadiah yang disediakan.
Dengan cara itu, pelanggan akan kembali ke Qadeeja untuk mendapatkan pakaian pilihan mereka yang pastinya ditawarkan pada harga amat berpatutan.
Ditanya perancangan masa depan, Aman memberitahu, pihaknya berhasrat membuka enam lagi cawangan Qadeeja selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
‘‘Kami telah mengenal pasti enam lokasi iaitu Sungai Petani dan Alor Setar di Kedah, Kemaman di Terengganu, Kota Bharu di Kelantan, Wangsa Maju di Kuala Lumpur dan Bandar Perda di Pulau Pinang.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Aman sendiri di talian 04-4965991 atau datang ke galeri Qadeeja di No. 11, Jalan KLC 1, Kulim Landmark Centre, Kulim, Kedah.

No comments:

Post a Comment